KUALA LUMPUR: Hari Kebangsaan 2023 yang disambut di Putrajaya pada 31 Ogos ini akan melibatkan hampir 17,000 peserta perbarisan yang terdiri daripada 10 komponen.

Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Komunikasi dan Digital Mazlan Abd Mutalib berkata 10 komponen itu ialah Kenegaraan, Perpaduan, Malaysia MADANI, Ekonomi, Perbankan, Telekomunikasi, Industri Kreatif, Komuniti, Sukan Negara serta Kesejahteraan dan Keselamatan Negara.

"Sebenarnya persiapan bukan sebulan dua tetapi empat bulan. Bulan empat selepas raya lepas, kita dah mula," katanya ketika menjadi tetamu program 'Apa Khabar Malaysia: Sambutan Hari Kebangsaan 2023' terbitan Bernama TV hari ini.

Bertemakan Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan, Mazlan yang juga Setiausaha Jawatankuasa Kerja, Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 berkata perbarisan turut melibatkan 30 pasukan pancaragam terdiri daripada pelajar sekolah, jabatan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Penglibatan aset wajib ada. Kali ini terdapat 516 aset berkenderaan termasuk daripada ATM dan Polis Diraja Malaysia," katanya.

Bagi mengetengahkan kekayaan seni dan budaya Malaysia, kira-kira 1,000 penari akan bersama-sama mengiringi persembahan nyanyian lagu "Kurik Kundi" yang pernah dipopularkan penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.

Lagu berkenaan akan dinyanyikan secara berselang-seli oleh beberapa artis antaranya Nadeera Zaini bagi mewakili masyarakat Melayu di Semenanjung Malaysia, Suki Low (kaum Cina), Zizi Kirana (masyarakat Sabah) serta Roshini Balachandran (kaum India) yang menandakan penyatuan rakyat, dengan diiringi irama pukulan gendang daripada 400 pemain pelbagai kaum.

Menurut Mazlan pengunjung juga akan disajikan dengan aksi terjunan udara oleh anggota komando 69 (VAT69) membawa Jalur Gemilang yang akan mendarat tepat di hadapan Kompleks Istana Kehakiman, Putrajaya dalam tempoh enam minit.

Beliau berkata orang ramai juga berpeluang menyaksikan persembahan udara menggunakan helikopter pasukan keselamatan selain aksi akrobatik membabitkan 15 motosikal antik 'Wira Merah' oleh pasukan ATM.

"Selain itu terdapat juga peragaan cosplay dan pelbagai maskot watak terkenal animasi," katanya dan menambah perbarisan itu akan turut disertai 30 kereta antik tajaan Agrobank.

Mazlan berkata sebanyak 4,000 ruang parkir, tandas dan skrin besar turut disediakan bagi kemudahan pengunjung pada sambutan berkenaan.

-- BERNAMA